Saturday, October 3, 2009

ZAKAT EMAS DAN PERAK

"Kan tadi ibu dah bagi sedekah kat pak cik tu, kenapa nak bagi lagi?"...tanya seorang anak kecil kepada ibunya. Sedekah yang dimaksudkan adalah Zakat fitrah yang wajib dibayar oleh umat islam di bulan ramadhan amnya. Tapi anak kecil itu tidak mengerti tentang zakat emas dan perak. Dan ibu tersebut menjelaskan.... "tadi tu zakat fitrah,ini zakat emas"... Mendengar perbualan mereka, terdetik dihati saya untuk bercerita tentang itu. Sekadar maklumat untuk dikongsi bersama bagi yang pertama kali mendengarnya atau yang lebih mengetahui tentangnya bolehlah membetulkan saya sekiranya saya silap.



~sekadar hiasan, emas seperti ini juga wajib di keluarkan zakat kerananya jika disimpan melebihi timbangan yang sepatutnya gugur zakatnya.~

Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan.Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.


::Dalil Wajib Zakat::


Firman Allah s.w.t:

"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu"(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka". (Hadis riwayat Abu Hurairah)


::Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak::

* Emas Yang Disimpan:
~ Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam setahun. Jika emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi kadar nisab (85 gram), maka wajib dikeluarkan zakat sebnyak 2.5% atas nilai emas tersebut. Nilai yang diambil kira adalah nilai emas sahaja iaitu tidak termasuk batu-batu permata.

~ Contoh: Emas yang disimpan atau tidak dipakai bernilai RM 4,000 (nilai emas semasa), maka zakatnya ialah sebanyak: RM 4,000 X 2.5% = RM 100.

* Emas Yang Dipakai:

~ Emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan tidak dikenakan zakat sekiranya ia tidak melebihi URUF (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Sekiranya melebihi URUF, maka ianya wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% atas nilai lebihan dari URUF itu. Penggunaan URUF ini banyak digunakan oleh pelbagai golongan khususnya bersandarkan kepada Imam An-Nawawi yang berpegang kepada mazhab Asy-Syafie. Sebagai panduan, buat masa ini kadar URUF yang digunakan di Selangor adalah sebanyak RM 5,000.

~ Contoh: Seorang wanita yang memiliki dan memakai emas sebagai perhiasan diri bernilai RM 7,000, maka zakatnya ialah sebanyak: (RM 7,000 - RM 5,000) X 2.5% = RM 2,000 X 2.5% = RM 50.


~cukup disini, jumpa lagi akan datang..~~~@
_____________________________________________________

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP