Thursday, August 6, 2009

Perginya seorang jelitawan...

Macam2 yang berlaku sejak akhir2 ni...pada 23hb 7 lepas, saya mendapat khabar, bahawa nenek saya di kampung sedang sakit teruk. Memandangkan pada masa yang sama ayah juga berada dalam keadaan yang tidak stabil untuk 'travel', hasrat untuk menziarah nenek terkubur begitu sahaja. Selang 2 hari, ayah,mama dan adik menziarahi nenek, kata mereka, nenek agak tenat. Saya dan abang terpaksa tinggal dirumah memandangkan kami perlu berkerja. Ayah dan mama berjanji pada nenek untuk pulang kembali pada hujung minggu sekiranya doktor mengizinkan ayah untuk 'travel', malangnya pada hari yang di janjikan, ayah di tahan di wad untuk rawatan lanjut, mama segera menghubungi kampung untuk memaklumkan bahawa kami tidak jadi pulang. Alhamdulillah nenek faham situasi kami. Dan pada 4hb 8, ayah telah dibenarkan pulang untuk melawat nenek dengan syarat akan kembali meneruskan rawatan pada 6hb 8. Petang 4hb tersebut, ayah berehat di rumah, lenyap sudah suasana hospital. Keesokan harinya, di pagi hari lagi kami sudah bertolak ke kampung untuk menziarah nenek. Saya, abang dan mama berpakat untuk mengambil cuti. Kami pulang dengan penuh harapan agar kepulangan kami akan memberi semangat pada nenek untuk terus pulih.

Setibanya di kampung di Jitra Alor setar, azan zohor berkumandang, kami sempat mencari warung selera kampung untuk mengalas perut yang sudah berkeroncong menyanyikan lagu sumbang. Hasrat untuk singgah ke masjid terbatal apabila memikirkan bahawa kami boleh men'jama'kan' waktu solat, maka kami meneruskan perjalanan ke rumah nenek. Nenek di tempatkan di rumah anak saudaranya memandangkan anak saudaranya merupakan seorang doktor. Setibanya di rumah tersebut, kami di pelawa masuk oleh adik nenek yang merupakan ibu kepada tuan rumah. Apabila melangkah masuk, keadaan ayah kembali lemah,langkahan kakinya longlai dan kami memimpin ayah ke katil untuk berehat. Ayah yang kepenatan tertidur lena. Pelik, ayah jarang lena di tempat orang, ayah juga biasanya akan berehat di bilik nenek. Namun kali ini, wajah nenek tidak di sapa terlebih dahulu.

Kami beserta mama terus melangkah ke kamar nenek, kami lihat wajah nenek kian tenat..Saya segera mengucup dahi dan pipi nenek, kata mereka, nenek sudah tidak membuka matanya sejak semalam. Hanya mata kanan sahaja yang mampu dibuka,itupun hanya suku sahaja yang di biarkan terbuka. Namun apabila mendengar suara kami, mata kanannya terbuka separuh. Tambah ajaib mata kiri nenek turut digagah dan terbuka suku. Ya allah, sebaknya meniti detik itu. Saya segera mencari ayah, saya pujuk ayah untuk menjengah nenek di kamar sebelah, namun ayah menolak dengan memberi alasan bahawa kepalanya pusing dan matanya berpinar. Teringat pesanan doktor, saya tidak memaksa ayah. Kali kedua memujuk, ayah tetap tidak mahu berjalan. Lalu, saya terus ke katil nenek. Dalam keriuhan adik2 nenek bebual sesama sendiri, saya menyusun langkah dihadapan mereka, dan melabuhkan punggung di sisi nenek. Tangan nenek saya usap dengan penuh kasih sayang. Sejuk tangan itu bagai isi mentimun kampung. Saya mengucup dahi nenek, dan bergenanglah air di kelopak mata ini. Lantas di dalam hati, saya segera memasang doa, " Ya Allah, jika derita yang di tanggung tokmama ini menyesakkan hidupnya, Kau bawalah rohnya bersama Mu dalam keadaan yang baik"...begitulah doa ku berkali2. Saya sedih melihat betapa sukarnya untuk nenek bernafas. Saya lebih rela membiarkan nenek pergi daripada menahannya sambil melihat dirinya terseksa.

Tidak lama kemudian, nafas nenek kian perlahan. Saya segera mencari ayah. Dalam hati, saya sudah merancang untuk memaksa ayah jika ayah masih berdegil. Namun sebaliknya, apabila ayah terjaga, ayah segera bangun dan menyusun langkah longlai ke kamar nenek. Dari langkahan ayah yang terhuyung hayang, saya tahu ayah masih lemah dan sedang memaksa dirinya sendiri. Ayah bagai tahu bahawa nenek sudah ingin mengucap selamat tinggal. Saya mengajak adik untuk memapah ayah. Alhamdulillah, ayah berjaya menyusun tapak. Namun apabila tiba di katil nenek, ayah rebah dibawah katil. Ayah bersila sambil memanggil2 nenek..."mak...mak...makk..." ayah manangis...sebak dihati ini kian parah... Ya Allah, Kau selamatkanlah keduanya...

Nenek sudah 2 hari tidak berkata kata. Tubuhnya terlantar, nafasnya terus berbunyi kuat. Mendengar suara ayah, nenek meraba raba tangannya mencari jemari ayah. Saya yang menyedari keadaan itu, segera saya menyatukan tangan mereka. Dan beberapa detik selepas itu, saya sudah kehilangan seorang nenek. Saya sempat melihat sebelum berlalunya detik itu, mimik muka nenek sedikit berkerut, mungkin itulah detik nyawanya dicabut. Matanya di pejam menahan sakit dan tiba tiba, wajahnya tersenyum dan dia terus berlalu hanyut ke alam baru. Saya menggoncang lutut nenek, kata mereka, nenek sudah tiada, saya menafikan tanpa sebarang alasan. Sukar untuk saya terima situasi itu. Nenek pergi buat selamanya. Dihati ini, saya yakin mereka silap. Saya pasang niat untuk menggoncang tubuh nenek apabila mereka tiada di sisi nenek nanti. Saya lihat muka adik dan abang merah padam menahan pilu. Saya terpinga2. Tiba tiba, nama saya di panggil, mereka menyuruh saya meluruskan kaki nenek. Saya akur tapi jauh di sudut hati, saya yakin mereka silap. Kaki nenek saya ikat untuk di luruskan. Berderai airmata saya menyembah bumi, saya sedih dengan tindakan saya. Saya tahu jasad nenek sakit dibuat begitu, tambahan saya yakin nenek masih hidup, tapi begitulah lumrah si mati yang perlu diikat kakinya untuk diluruskan. Ya Allah, apakah ini kesudahan untuk nenek? Namun, Alhamdulillah kami sempat bertemu nenek dan ada disisinya disaat dia ingin pergi. Mungkin inilah hajat nenek, mungkin inilah permintaan terakhir nenek yang telahpun dimaqbulkan. Terima kasih Ya Allah kerana mengaturkan kesudahan yang indah buat nenek.

Bilik nenek dibiarkan sepi kerana masing masing sibuk membuat persiapan membersihkan nenek dan menempatkannya di tempat yang lebih sesuai. Ketika itu, saya melangkah ke sisi nenek. Saya membuka lembaran Surah Yassin dan membacanya dengan penuh tertib dan tartil. Sekali sekala bacaan saya tenggelam dalam sedu sedan dan sebak pilu. Inilah yang dinamakan cinta. Sukarnya untuk dilepaskan. Selesai di ayat kedua terakhir, saya kuatkan suara sambil melihat raut wajah nenek. Disitulah letaknya ayat keramat surah tersebut. Saya berharap, apabila dibaca ayat itu dihadapan nenek, nenek akan sedar dari pengsan. Berkali kali saya mohon nenek bergerak. Nyata saya yang silap. Nenek memang sudah tiada. Saya sudahi surah itu dan saya terus memeluk tubuh nenek. Saya goncang tubuhnya sekuat hati. Bergoyang pipi nenek digerakkan oleh saya. Menyedari tindakan saya hanya menyakiti jasad nenek, saya akur bahawa hakikat ini,harus saya terima. Saya tutup wajah nenek selepas mengucup wajahnya berkali kali.

Kemudian,kami bersihkan nenek, kami tempatkannya di atas katil di ruang tamu, agar mudah diziarahi sanak saudara. Detik itu, nenek cukup jelita. Teringat saya akan potret seorang wanita jelita yang digantungkan di dinding ruang telefon rumah nenek. Jelita sungguh pemilik wajah itu, makin terserlah kejelitaannya disebalik kebaya biru yang dipakainya. Saya pernah bertanya,kenapa gambar itu di gantung di rumah nenek. Kata ayah, itu adalah nenek. Tapi sedikit pun saya tidak percaya. Maklumlah, nenek ketika itu sudah tua, badannya juga tidak seramping dahulu. Tapi hari ini, saya lihat dengan mata sendiri, wajah nenek seakan akan raut wajah potret itu. Dan hari ini, saya yakin di potret itu, memang nenek. Malam itu, saya tidur di sisi nenek. Saya usap kepala nenek. Saya menepuk nepuk bahu nenek bagai mendodoikan anak kecil. Berjuraian airmata ini,tanpa saya sedar apa yang sedang saya lakukan. Nyamuk yang mengganggu tidak saya hiraukan. Esok saya sudah tak dapat melihat nenek, maka biarlah hari ini, saya menemaninya. Menjelang pukul 3pagi, ramai yang datang untuk persiapan keranda. Saya melangkah ke bilik. Saya tinggalkan nenek di ruang tamu. Agak kurang manis apabila melihat anak gadis melepak di ruang tamu ketika ramai yang bertandang ke rumah. Saya tertidur di sofa bilik dan terus hanyut di alam maya.

Pagi esoknya, saya mama dan beberapa orang saudara lagi memandikan nenek. Saya sabun tubuh nenek mengikut tunjuk ajar 2 orang makcik yang sememangnya ditugaskan untuk menguruskan jenazah nenek. Kata mereka, tubuh nenek lembut sangat. Airmata saya ketika itu sudah kering. Bagai sudah bengkak mata ini. Kemudian kami kafankan nenek. Apabila nenek dibedak dan di celakkan, berderai lagi airmata ini. Jelita sungguh wajah itu. Hanya Kau yang tahu, betapa kagumnya aku melihat wajah nenek. Ramai yang datang menziarah juga tersenyum melihat raut wajah nenek. Berseri seri wajahnya. Hidungnya yang mancung terletak indah. Matanya yang di celak menambahkan seri yang memang sedia ada. Bagaimana pula kesudahan saya nanti? Saya berterima kasih yang tidak terhingga buat Sultan Kedah berserta isterinya yang sudi mencemar duli menjejak rumah rakyat biasa untuk memberi penghormatan terkhir buat nenek. Selesai semuanya, nenek di usung ke masjid untuk di solatkan. Sesudah disolatkan, nenek di bawa ke Langgar, Alor Setar untuk disemadikan. Perjalanan yang mengambil masa hampir 20 minit itu ditemani titisan hujan renyai seakan akan hujan itu hadir untuk menyejukkan hari yang terik. Hujan bermula dari nenek selesai dimasukkan ke dalam van jenazah sehinggalah van tersebut berhenti di perkarangan kubur. Setibanya di tempat pengebumian, hujan rahmat tersebut berhenti bagai ingin memudahkan urusan pengebumian. Nenek disemadikan di Makam diraja Langgar berdekatan dengan makam suaminya.

Saat talkin dibaca, saya pula yang kehujanan cuba menahan kantung mata dari menumpahkan air hangat, namun kelopak mata ini lemah. Tidak mampu lagi menahan sebak. Bermula kami melangkah keluar dari tanah permakaman, nenek tinggal di situ buat selamanya. Teringat kembali di saat akhir melihat wajah nenek sebelum di tutup buat selamanya dirumah itu, berkali kali pipi dan dahinya saya kucup. Bibir inilah yang paling akhir meninggalkan kesan di wajah nenek. Kasih dan sayang ini bukan paksaan. Sungguhpun beliau hanyalah nenek angkat bagi saya, namun, kerana kasih sayangnya yang dicurahkan buat kami sekeluarga, sejak ayah berada dalam jagaannya,sejak mama mula menjadi milik ayah, sejak kami 5 beradik mula mengenal alam,sejak itulah cinta telah membunuh jurang erti keluarga angkat antara kami. Kami intim bagai keluarga kandung. Bermula detik ini, saya sudah tiada atuk dan nenek. Dimanakah arah tuju untuk saya pulang ke kampung berhari raya selepas ini??

Selesai semuanya, kami pulang ke rumah nenek untuk mandi dan solat zohor. Saya melirik ke arah jam di tangan. Bagai di rancang, kami pulang sebelum azan zohor. Barulah saya tersedar, setiap yang dirancang semalam, semuanya tiba dan berlalu tanpa sedikit pun kelewatan, semuanya tetap pada waktunya. Tidak terlalu awal, tidak juga lewat. Mungkin kerana berkat amalan nenek di kala hidupnya yang sering beramal setiap malam dan sering berpuasa sepanjang rejab, syaaban dan ramadhan. Bertahun tahun nenek kekal dengan amalannya. Tewasnya saya berhadapan dengan amalan nenek. Tidak setanding dengan usianya yang uzur. Semasa saya bersiap2 untuk mandi, saya terpandang timbunan buku amalan nenek, saya cuba mengemas2 bukunya. Lusuh dan hampir reput bukunya,sudah terleraipun helaiannya, sampai begitu sekali amalannya. Sebak rasanya melihat semuanya sudah tinggal kenangan. Sejak kecil lagi, saya melihat buku itulah yang nenek usung kemana saja dia pergi. Dan buku itulah tempat nenek meluahkan rasa cintanya pada Rabbul Izzati sebelum nenek menutup mata setiap malam. Dan tiba tiba, dada saya rasa berdebar. Saya terpandang album gambar fuji photo yang terselit di celahan buku. Bergetar tangan saya cuba mencapainya. Semakin sakit dada saya cuba menahan sebak. Gambar itu saya belek satu persatu sambil menahan airmata. Tiba tiba mama yang terlihat pergerakan saya segera meluru ke arah saya. Album tersebut sudah bertukar tangan, segera saya capai tuala di bahu dan terus melindung kepala. Langkahan kaki saya semakin laju ke kamar mandi di iringi deras airmata yang tidak sedikit pun saya cuba tahan. Saya rasa disaat itu, saya perlu jujur. Air itu perlu mengalir.. Teresak esak saya di kamar mandi. Saya pasang air sekuatnya agar dapat menenggelamkan esak tangisan saya. "Ya Allah, betapa dalamnya rindu nenek buat saya dan keluarga yang Kau tanamkan dihatinya, saya sendiri tidak menatap gambar nenek setiap hari...ampuni daku ya Allah..." Pedihnya hati saya meniti hakikat ini. Namun siapalah saya untuk mengubah Qada' dan Qadar Mu...semakin kerdil diri ini. Moga doa saya akan buat nenek terus bahagia di alam baru.

Nenek, untuk segala rasa cinta yang wujud di hati ini buat nenek ,saya akan selalu menghadiahkan al-fatihah dan yassin buat nenek...Saya sayang nenek saya...!!! Tolong saya sedekahkan fatihah buat nenek...AL-FATIHAH...

4 comments:

Anonymous

sebak rasa di hati tika membaca coretan amie...sabarlah,yg hidup pasti akan pergi,dan org selalu kata,yg patah kan tumbuh,yg hilangkan bganti...tp hakikatnya,yg bganti takkan sama dgn yg telah pergi...-mainiza-

aMieNaH riDZwaN @ riDZ

betul tu mainiza, sungguhpun datang berjuta nenek yang baik, tetap xsama dengan nenek yang satu tu. biarlah dia pergi dengan aman. Hidup perlu dteruskan...

Anonymous

takziah semoga saudari tabahkan hati.

aMieNaH riDZwaN @ riDZ

ameen...syukran.

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP