Thursday, November 27, 2008

ZAWAJ MISYAR

Salam...erm, pada 3hb ni saya ada exam...Qodoya Mu'asiroh...ni subjek tentang Hukum Fiqh terbaru...sesuai dengan peredaran zaman...hehe..antara tajuknya adalah Zawaj Misyar...blank dh kepala ni nak faham kitab2 arab ni...dan lah ta'arud 2 exam...haha...terpaksa ta'jil salah satu kot..Well, di kesempatan ni, nak jugak rasanya kongsi dengan semua tentang apakah itu Zawaj Misyar..sebab, rasanya kes ni pun pernah timbul de mesia suatu ketika dahulu...mane tau kot2 korang pernah dengar ker...or if korang lebih tau ke...leh lah kongsi input or perbetulkan jika fahaman saya salah...tapi ni hanya cebisan jer...maaflah ye..xleh nak kaji dalam sangat...exam bertimbun.. Please pray 4 me.....thanx...

Perhimpunan Perundangan Islam berpusat
di Makkah benar lelaki amalkan nikah 'pengembara'

PERKAHWINAN misyar yang bertujuan sekadar
menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan
di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan
boleh disamakan seperti 'pelacuran berbentuk halal'
yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah.

Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk
pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam
selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan
kontroversi. Amalan ini tidak sesuai sama sekali,
terutama pada saat wanita hari ini terpaksa berdepan
pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab
dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa nafkah atau
selepas berlaku perceraian.

Beberapa tokoh agama yang dihubungi di negara ini
turut menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan
misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya yang
hanya menguntungkan lelaki semata-mata.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegaskan
kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya
dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian
yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil
seseorang wanita sebagai isteri bersama tanggungjawab
ditentukan syarak.

"Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan, mahupun
diterima masyarakat di negara ini. Sepanjang pengetahuan
saya, belum pernah lagi berjumpa dengan amalan perkahwinan
seumpama ini. Ia lebih teruk daripada mutaah.

"Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar.
Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita.
Jadi perkahwinan misyar tidak seharusnya dibolehkan apatah
lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan.
Tiada sebab ia perlu dihalalkan," katanya.

Dalam hubungan ini, sungguh pun wanita itu sendiri reda
dengan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana letak
maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk
melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa
perkahwinan seumpama itu boleh mengucar-kacirkan
institusi kekeluargaan hari ini yang semakin menuju kehancuran.

Jika dibenarkan, maka mudahlah wanita dikahwini dan
ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri
mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan
atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah.

Sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita
di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan
Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan
ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan
perkahwinan misyar, 12 April lalu.

Peguam Syariah dan Perunding Keluarga Islam,
Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata konsep
perkahwinan misyar tiada bezanya dengan pelacuran
apabila lelaki bebas menikahi mana-mana wanita yang
disukainya dan menceraikannya sesuka hati selepas
beberapa hari bernikah.

Begitu juga sebaliknya, wanita boleh menikahi
mana-mana lelaki yang disukainya.

"Misyar bertentangan sama sekali dengan konsep asal
perkahwinan yang bertujuan memelihara kesejahteraan
wanita dan anak yang dilahirkan. Masyarakat kita tidak
boleh menerima amalan ini sebab al-Quran sudah menetapkan
perkahwinan itu yang berlandaskan mawaddah warrahmah
(kasih sayang) yang tidak dapat diperoleh daripada misyar," katanya.

Beliau berkata, perkahwinan misyar mengetepikan hak wanita
sebagai isteri tidak terlaksana yang sudah pasti melanggar
hukum syarak.

Walaupun isteri reda, wanita harus sedar perkahwinan
berkenaan sekadar memberikan kepentingan kepada satu
pihak semata-mata iaitu suami.

Beliau turut berpendapat perkahwinan misyar hanya akan
memburukkan lagi keadaan yang dialami wanita hari ini yang
diabaikan suami dari segi pemberian nafkah dan tanggungjawab lain.

"Alasan mengamalkan misyar untuk mengelakkan perzinaan
tidak boleh diterima kerana Islam memberikan alternatif lebih
baik untuk tujuan berkenaan seperti poligami. Poligami sudah
cukup untuk membendung gejala zina, tetapi malangnya
masyarakat tidak mendapat maklumat tepat mengenainya
menyebabkan poligami dianggap sesuatu yang negatif
semata-mata.

"Kita tidak boleh samakan keadaan di sini dengan lelaki di Arab
Saudi kerana dari segi kewangan mereka lebih dominan dan
akur dengan undang-undang syariah," katanya.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
turut menolak amalan perkahwinan misyar yang
dianggap menzalimi wanita.

"Dalam keadaan perkahwinan yang mengikut hukum syarak
pun masih ramai yang sanggup mengabaikan tanggungjawab,
inikan pula dengan perkahwinan misyar. Ia tiada beza dengan
mutaah, tetapi lebih teruk kerana menganggap wanita sekadar
tempat memuaskan nafsu. Perkahwinan pada dasarnya untuk
memelihara wanita dan zuriat yang dilahirkan bukan untuk
dipermain-mainkan," katanya.

Beliau berkata, perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan
nafsu, tetapi banyak lagi tuntutan lain yang perlu dipenuhi.
Antaranya menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal,
makan, pakai dan perbelanjaan lain.

Persoalannya, apakah nasib yang bakal ditempuhi wanita selepas
diceraikan melalui perkahwinan misyar? Wanita tidak seharusnya
terus dibiarkan terabai dengan pemikiran radikal seperti ini yang
hanya merugikan wanita.

Perkahwinan yang ditetapkan oleh hukum syarak sudah sempurna
di mana pasangan hidup bersama dan memikul tanggungjawab
masing-masing sehingga ke akhir hayat.

Ironi sekali apabila kajian Arab News ke atas 60 lelaki yang
menyatakan persetujuan mengamalkan perkahwinan ini,
tetapi tidak akan membenarkan ia terjadi ke atas anak atau
adik perempuan mereka.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Keluarga/20060524083029/Article/

0 comments:

Blogger template 'Purple Mania' by Ourblogtemplates.com 2008

Jump to TOP